Rumah di pinggir Sungai Kedondong, Paya Jaras dirobohkan dalam operasi pihak berkuasa Selangor pada 18 September. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

PDT Petaling: 82 pemilik ditawar Rumah Selangorku

SHAH ALAM, 20 SEPT: Seramai 82 pemilik struktur di atas rizab Sungai Kedondong yang terbabit dengan pelaksanaan projek rancangan tebatan banjir di sungai berkenaan ditawarkan pembelian Rumah Selangorku.

Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tawaran itu adalah hasil libat urus pihaknya bersama Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

“Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong ini amat penting bagi penyelesaian masalah banjir di kawasan Paya Jaras dengan mengambil kira kepesatan pembangunan semasa dan penduduk yang kian bertambah.

“Kejadian banjir bukan sahaja mengakibatkan kerosakan harta benda, malahan turut mengancam nyawa penduduk yang berkaitan,” katanya.

Terdahulu, PDT Petaling bersama Polis Diraja Malaysia, Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan, Tenaga Nasional Berhad dan Air Selangor mengadakan tindakan operasi penguatkuasaan secara bersepadu terhadap struktur yang berada di atas rizab Sungai Kedondong.

Tindakan operasi penguatkuasaan pada 18 September lalu dibuat di bawah Seksyen 425, Kanun Tanah Negara iaitu pendudukan secara tidak sah di atas tanah kerajaan.

“Operasi penguatkuasaan (18 September) hanya di (dijalankan) Plot C dan D membabitkan 45 struktur membabitkan rumah kediaman, kedai runcit, bengkel dan garaj.

“Plot A dan B belum dibuat operasi penguatkuasaan dan dijangka dalam masa terdekat. Penduduk di Plot A dan B disaran untuk segera mengosongkan struktur bangunan masing-masing,” katanya.

Untuk rekod, projek rancangan tebatan banjir bernilai RM5.93 juta itu dibiayai Kerajaan Negeri bertujuan menangani masalah banjir yang kritikal di Daerah Petaling dengan kekerapan banjir lebih dua kali setahun.

Projek menaiktaraf Sungai Kedondong sepanjang 1.15 kilometer (km) yang dimulakan sejak 2 Disember 2015 itu dijadualkan siap pada 31 Mei 2017.

Bagaimanapun, ia mengalami kelewatan serius disebabkan adanya sturktur yang menceroboh tanah kerajaan.

“Pihak Berkuasa Negeri sudah menangguhkan operasi penguatkuasaan sebanyak tiga kali iaitu pada 20 Julai 2016, 22 Februari 2017 dan yang terkini operasi yang dijadual pada 5 September 2019 juga telah ditangguh.

“Penangguhan kali ketiga sehingga 16 September 2019 bertujuan memberi laluan kepada anak-anak yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan juga sebagai memberi tambahan masa kepada penduduk untuk mengosongkan tapak secara sukarela,” kata kenyataan itu lagi.


Pengarang :