President Indonesia, Joko Widodo memerhati kemusnahan hutan akibat kebakaran yang berterusan di Pekanbaru pada 17 September 2019. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tun M ‘tidak tahu’ Indonesia tolak bantuan tangani kebakaran

PUTRAJAYA, 19 SEPT: Malaysia tidak pernah bertanya Indonesia kenapa ia tidak menerima tawaran untuk membantunya menangani kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, Malaysia telah menawarkan bantuan kepada Indonesia untuk menangani kebakaran hutan kerana ia mempunyai peralatan pengeboman air yang boleh digunakan.

Ketika ditanya pada sidang akhbar mengenai mengapa Presiden Indonesia Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi tidak bersedia menerima tawaran Malaysia, Dr Mahathir berkata: “Saya tidak tahu kenapa.”

“Bertanya (Jokowi) mengapa anda tidak mahu menerima bantuan kami? Tetapi saya belum pernah melakukannya lagi. Kenapa anda tidak bertanya (Jokowi),” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), di sini hari ini.

Ditanya bagaimana Malaysia akan mengawal masalah jerebu, Perdana Menteri berkata: “Kami berdoa agar hujan turun. Kita telah melakukan pembenihan awan dan meminta orang ramai memakai topeng muka.”

Ditanya mengenai kos yang terlibat dalam pembenihan awan, Dr Mahathir berkata beliau tidak menerima maklumat mengenai kosnya.

“Tetapi kami menerima cadangan sekarang supaya menggunakan dron untuk membentuk hujan buatan. Kita boleh menggunakan beberapa dron, bukan satu di kawasan tertentu berkenaan Putrajaya yang teruk terjejas oleh jerebu,” katanya.

Jerebu yang berpunca daripada kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan di Indonesia telah melanda beberapa kawasan di Malaysia yang dibawa angin Monsun Barat Daya.

-BERNAMA


Pengarang :