Peserta Karnival Sukan Bola Jaring sempena Pesta Sukan Gen-S peringkat daerah Klang yang diadakan di Dewan Sukan Klang pada 6 Oktober 2019.
PBTSELANGOR

24 pasukan bola jaring berentap sempena Pesta Sukan Gen-S

KLANG, 6 OKT: Sebanyak 24 pasukan berentap merebut kejuaraan pada Karnival Sukan Bola Jaring sempena Pesta Sukan Gen-S peringkat daerah Klang yang diadakan di Dewan Sukan Klang, di sini, hari ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohd Yasid Bidin berkata, karnival sukan yang menjengah edisi kelapan itu dianjurkan Kerajaan Negeri melalui kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) di bawah program pembangunan belia.

Katanya, dua kategori dipertandingkan dalam kejohanan terbabit iaitu kategori terbuka (16 hingga 30 tahun) dan bawah 12 tahun.

“Penganjuran ini dilihat mampu menyemarakkan dan menggalakkan lagi sukan bola jaring di peringkat Selangor memandangkan Kerajaan Negeri sudah memperuntukkan sejumlah RM30,000 untuk setiap Pihak Berkuasa Tempatan menjalankan pesta sukan seperti ini.

“Malah, ia juga diambil kira sebagai titik permulaan sokongan MPK dalam membantu pasukan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor menjalankan aktiviti pemantauan pemilihan bakat baharu, di samping menarik minat orang ramai terhadap sukan bola jaring.

“Penerapan nilai murni dalam bekerja secara berpasukan akan menyemai semangat bantu-membantu antara satu sama lain khususnya bagi membantu pasukan Selangor mencapai kejayaan di peringkat kebangsaan,” katanya ketika berucap merasmikan karnival sukan berkenaan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif MSNS, Adi Faizal Ahmad Tarmizi.

Johan bagi kategori terbuka bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 berserta medal, naib johan (RM1,500 dan medal) serta ketiga bersama (RM750 dan medal).

Sementara itu, bagi kategori bawah 12 tahun, johan akan memenangi hadiah wang tunai RM1,000 berserta medal, manakala naib johan dan ketiga masing-masing berpeluang merangkul sebanyak RM750 dan RM500 berserta medal.

Pada masa sama, Mohd Yasid berkata, penganjuran itu sebagai langkah menyahut seruan Kementerian Belia dan Sukan yang berhasrat membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat, bertepatan dengan Bulan Sukan Negara yang diadakan sepanjang Oktober setiap tahun.

“Selain itu, kejohanan ini dapat dijadikan landasan kepada kita untuk mendidik dan menekankan aspek asas sukan yang akan dikendalikan jurulatih berpengalaman,” katanya.

Semalam, dua pemain bola jaring kebangsaan L Karisma dan Nur Firra Syuhada Hasrin ditampilkan bagi melatih pasukan klinik 12 tahun yang disertai kira-kira 40 kanak-kanak di sekitar Selangor.

Beberapa program lain turut dijalankan sempena pesta sukan yang berlangsung sejak semalam itu antaranya sukan istimewa bagi Orang Kelainan Upaya, pertandingan FIFA20 buat penggemar sukan elektronik dan kayuhan basikal klasik.


Pengarang :