Sundram Renggan @ Rengasamy, dibawa ke Mahkamah Sesyen Sepang pada 29 Oktober 2019 bagi didakwa atau pertuduhan mempunyai kaitan dengan pengganas LTTE. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Guru didakwa ada kaitan dengan pengganas

SEPANG, 29 OKT: Seorang guru sekolah menengah kebangsaan di Telok Panglima Garang, Selangor didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, di sini, hari ini, kerana memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembeban Tamil Eelam (LTTE).

Sundram Renggan @ Rengasamy, 52, yang juga pengajar subjek bahasa Inggeris dan fizik, didakwa melakukan kesalahan itu di No 21, Jalan 6, Taman Telok, Telok Panglima Garang dalam daerah Kuala Langat pada 12 Oktober lepas kira-kira jam 2.30 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara dengan tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item berkenaan.

Pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Saifulakmal Mod Said dalam bahasa Melayu. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Peguam yang mewakili Sundram, Kirthiraj Raja Sundram menfailkan permohonan jaminan dengan alasan anak guamannya itu memerlukan rawatan lanjut kerana penyakit kencing manis.

Namun permohonan itu dibantah Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Azlina Rasdi kerana permohonan itu tidak tertakluk di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Hakim Saifulakmal turut menolak permohonan itu, namun memerintahkan rawatan sewajarnya diberikan kepada tertuduh.

Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 16 Disember ini.

– BERNAMA


Pengarang :