Ir Izham Hashim (empat, kiri) ketika melawat Pusat Ternakan Ikan Empurau bersama Jabatan Perikanan Selangor di Puchong pada 14 Oktober lalu. Foto Facebook Ir Izham Hashim
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Mentor mentee Agropreneur Selangor bantu jana pulangan tinggi

SHAH ALAM, 16 OKT: Program Pembangunan Agropreneur Selangor yang menampilkan mentor mentee diwujudkan bagi membantu usahawan dalam industri pertanian dan penternakan.

EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, seramai tiga mentor dilantik iaitu pengusaha tanaman melon di Selangor Fruit Valley, nenas di Sungai Panjang dan Roselle di Sungai Air Tawar.

Katanya, konsep itu bagi membangunkan agropreneur dengan lebih sistematik dan cemerlang.

“Selain tanaman, kami juga sedang mengenal pasti mentor yang terbabit dengan ternakan akuakultur yang boleh memberi pulangan tinggi.

“Untuk tujuan itu, saya dapati ternakan ikan empurau sangat berpotensi untuk diserapkan melalui program mentor mentee ini bermula tahun depan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Ternakan Ikan Empurau bersama Jabatan Perikanan Selangor di Puchong pada 14 Oktober lalu.

Pada masa sama, Ir Izham berbangga melihat ternakan ikan empurau yang diusahakan seorang anak muda menggunakan air paip terawat.

“Ikan empurau yang berasal dari Sarawak adalah ikan air tawar paling mahal, melebihi RM1,000 sekilogram.

“Saya berharap usahawan agropreneur di Selangor sentiasa peka dengan tawaran diberi Kerajaan Negeri, sekali gus dapat menambah baik pendapatan mereka,” katanya.


Pengarang :