Gambar hiasan. Grafik Selangorkini
AGENDANASIONAL

Minat jalankan perniagaan kukuh walaupun ekonomi dunia suram

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Pertumbuhan ekonomi dunia menunjukkan kelembapan, namun minat untuk menjalankan perniagaan dalam kalangan perniagaan antarabangsa tetap kukuh.

Ini terbukti daripada kejayaan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mendapatkan 32 pembeli asing dari 23 negara menyertai Pameran & Persidangan Produk Greentech & Eco Antarabangsa Malaysia ke-10 (IGEM 2019) baru-baru ini.

Bernama berjaya menemu bual tiga tokoh perniagaan asing dari firma pertengahan yang mencari peluang untuk menjalin usaha sama serta mendapatkan bekalan, pada sesi padanan perniagaan yang diatur oleh MATRADE.

Sesi padanan yang dinamakan Program Penyumberan Antarabangsa, yang berlangsung sempena Pameran & Persidangan Produk & Persidangan Greentech & Eco Antarabangsa Malaysia ke-10 (IGEM 2019) merupakan kemudahan utama MATRADE untuk menghubungkan pembekal Malaysia dengan pembeli asing dengan sokongan Malaysian Green Technology Corp.

Salah sebuah syarikat ini ialah syarikat perdagangan Qatar, Arabian Specialised Materials.

Pengurus Pemasarannya, Mohammad Al Jaja berkata, beliau mengenal pasti lima syarikat Malaysia yang berpotensi menjalin usaha sama yang mungkin atau memperoleh sumber produk dari Malaysia.

“Hasilnya setakat ini sangat baik. Kami telah bertemu dengan lebih 15 syarikat, dengan lima merupakan syarikat yang kukuh.

“Ini mungkin akan membawa kepada pengimportan produk dari Malaysia atau usaha sama di Qatar dengan membuka pejabat di Qatar,” katanya.

Mohammad berkata, beliau juga sedang mencari jurutera reka bentuk untuk mengambil bahagian dalam pembinaan sebuah bandar pintar di Qatar memandangkan negara itu sedang bergerak ke arah bindaan dan infrastruktur bandar pintar.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai hubungan erat dengan Qatar dan yakin perdagangan antara kedua-dua negara akan terus kukuh.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Halal Bangladesh, Amirul Chowdhury berkata, beliau sedang mengenal pasti pembekal produk teknologi hijau bagi perkhidmatan pengurusan alam sekitar dan aksesori lampu.

“Saya mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal. Kami merancang untuk bekerjasama untuk komuniti tempatan kami di Bangladesh dalam bidang pembangunan teknologi hijau,” kata Amirul.

Beliau juga berhasrat untuk mengadakan Pameran Halal Antarabangsa Bangladesh tahun depan, serupa MIHAS Malaysia, dan mencari syarikat dengan sistem teknologi hijau untuk turut serta.

Margarita Chow, Perunding Perniagaan Antarabangsa dari syarikat perdagangan Panama, MCLO IBC PTE LTD, yang mengambil bahagian dalam IGEM untuk kali pertama, sedang mencari pembekal Malaysia dalam bidang seperti minyak dan gas, produk elektronik dan tenaga boleh baharu.

“Banyak pembekal berpotensi dalam peralatan keselamatan untuk minyak dan gas, kami juga menemui produk tenaga boleh baharu dan kami berjaya mendapat bakat yang hebat untuk membantu kami mendapatkan pembekal,” katanya.

Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di seluruh dunia berjaya menarik penyertaan dari 32 pembeli asing dari 23 negara seperti Argentina, Belanda, Nigeria, Jepun, Kuwait, Mesir, Kemboja, Sri Lanka, Vietnam, India, Indonesia, Thailand, Filipina, Pakistan, India, Poland dan Amerika Syarikat.

IGEM adalah acara perdagangan terbesar di Asia Tenggara dalam teknologi hijau dan penyelesaian eko, menjana berbilion-bilion dalam perniagaan, dengan kehadiran lebih 350,000 pelawat termasuk peserta, orang kenamaan dan syarikat dari lebih 50 negara.

– BERNAMA


Pengarang :