Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud menjawab soalan ketika Sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Undangan Negeri Selangor pada 11 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

37,612 peserta dilatih di bawah program PWB sehingga September

SHAH ALAM, 11 NOV: Sejumlah 37,612 peserta sudah dilatih di bawah program-program Pusat Wanita Berdaya (PWB) merangkumi modul program kemahiran dan pembangunan kapasiti sehingga September lalu.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, daripada keseluruhan jumlah itu seramai 1,694 peserta adalah program wanita dan perundangan.

“Pihak Pengurusan PWB sentiasa memantau secara dekat pelaksanaan program yang dijalankan PWB di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) terutama program pembangunan kapasiti ini.

“Buat masa ini, Pengurusan PWB sedang dalam proses menyemak semula kandungan modul-modul yang berkenaan dalam memastikan ia sentiasa relevan dan efisien untuk peserta,” katanya.

Beliau (PAKATAN-Seri Serdang) berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Elizabeth Wong (PAKATAN-Bukit Lanjan), di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Siti Mariah berkata, sebagai kelangsungan modul pembangunan kapasiti, pihaknya juga melaksanakan program Akademi Kepimpinan Wanita Selangor yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada 19 September lalu.

“Bagi pengambilan pertama, seramai 100 peserta terpilih terdiri dalam kalangan peserta yang dilatih menerusi program pembinaan kapasiti PWB seluruh Selangor,” katanya.

Bermula September tahun lalu, Modul Wanita dan Perundangan diperkenalkan sebagai salah satu komponen dalam Program Pembangunan Kapasiti yang juga mengandungi Modul Kefahaman Gender, Pendemokrasian Hak Rakyat, Kesihatan Wanita dan Keluarga.

Daripada jumlah keseluruhan 923 program PWB yang dijalankan sejak Januari hingga September lalu, 289 adalah program-program Pembangunan Kapasiti termasuk 46 program Modul Wanita dan Perundangan.


Pengarang :