Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teng Chang Khim menjawab soalan ketika Sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Undangan Negeri Selangor pada 11 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Pembungkusan produk ‘Made In Selangor’ sasar pasaran antarabangsa

SHAH ALAM, 11 NOV: Kerajaan Negeri memperkenalkan program Pembungkusan ‘Made In Selangor’ bagi menambah nilai produk sekali gus dikembangkan pasaran ke peringkat antarabangsa.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim berkata, program ini dijalankan untuk usahawan yang cukup bersedia untuk mempertingkatkan kualiti pembungkusan dan pensijilan produk.

“Peserta yang mengikuti program ini akan menerima pensijilan produk, rekabentuk jenama, pendaftaran jenama dan cetakan pembungkusan yang diperbaharui,” katanya.

Chang Khim berkata demikian pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Selain sasaran ke pasaran antarabangsa, Kerajaan Negeri turut membantu usahawan meneroka pasaran atas talian melalui program Majlis Teknologi Maklumat dan e-Dagang Selangor (SITEC) dengan menyediakan latihan kemahiran kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana berminat.

Selain itu, pelbagai kursus juga dianjurkan Kerajaan Negeri, antaranya Bengkel Permulaan Facebook & Teknik Asas Fotografi, Bengkel ‘Advance’ Foto dan Video Telefon Pintar dan Kursus ‘Advance’ Pemasaran Facebook.


Pengarang :