BERITA UTAMASELANGOR

Belanjawan #Selangor2020 prihatin aspek infrastruktur

SHAH ALAM, 2 NOV: Keprihatinan Kerajaan Negeri yang memberi fokus terhadap pembangunan infrastruktur dalam pembentangan Belanjawan #Selangor 2020 dipuji.

EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, pengumuman Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkaitan peruntukan untuk memperkemas rangkaian jalan di negeri ini adalah berita gembira khusus kepada rakyat.

Katanya, peruntukan yang disediakan Kerajaan Negeri bagi pembinaan beberapa jalan baharu di Selangor juga salah satu berita gembira.

“Di bawah portfolio saya, kita juga menerima peruntukan untuk projek tebatan banjir dan kami sudah mengenalpasti beberapa projek besar bagi mengatasi permasalahan ini.

“Saya amat berpuas hati dan optimis kesemua projek ini akan menjadi seimbang dan futuristik selain berusaha mencapai negeri pintar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Pembentangan Belanjawan #Selangor2020 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di Dewan Negeri Selangor, di sini, semalam.

Mengulas berkenaan projek ‘Smart Farming’, Izham berkata, projek itu memberi peluang tinggi kepada petani yang menggunakan teknologi moden dengan penggunaan aplikasi melalui gajet bagi mengawal kerja tanaman seperti penggunaan baja dan air.

“Smart Farming” ini akan menjadi agenda penting pada tahun depan dan saya harap ia dapat memberi nilai tinggi terutama di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, Amirudin menerusi pembentangan Belanjawan #Selangor 2020 mengumumkan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor menerima peruntukan sebanyak RM84.4 Juta.

Pecahan daripada keseluruhan peruntukan bagi projek yang dilaksanakan adalah Pembangunan Projek Tebatan Banjir sebanyak RM52.19 juta, Menaiktaraf Saliran sebanyak RM26.84 juta, Pembangunan Lembangan Sungai sebanyak RM700 ribu, Pembangunan Sumber Air dan Hidrologi sebanyak RM960 ribu, Program Pengurusan Saliran Mesra Alam sebanyak RM600 ribu, Pembangunan Pantai sebanyak RM1.4 juta dan Pembangunan Infrastruktur Mekanikal dan Elektrikal sebanyak RM1.7 juta.

114. 62 peratus daripada peruntukan yang diperolehi adalah bagi pelaksanaan projek tebatan banjir manakala 32 peratus peruntukan adalah bagi projek menaiktaraf saliran.


Pengarang :