EXCO SELANGOR

iGems beri insentif perkahwinan pertama RM300

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri mengumumkan Program Insentif Generasi Muda Selangor (iGems) melalui pemberian insentif RM300 seorang bagi perkahwinan pertama.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata program penjajaran semula Insentif Perkahwinan Belia itu mewajibkan pemohon yang layak menghadiri kursus kekeluargaan.

Katanya sejumlah RM550,603 diperuntuk bagi tahun 2019/20 dengan anggaran 1,500 belia berumur 40 tahun ke bawah akan mendapat manfaat.

“Program ini berkonsepkan pemberian insentif RM300 seorang bagi pemohon dan pasangan yang menepati syarat utama dengan menghadiri kursus selama setengah hari secara bersama.

“Kursus merangkumi aspek pengurusan kewangan, emosi dan kemahiran keibubapaan ditekan bagi memenuhi keperluan ilmu rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Program Insentif Generasi Muda Selangor (iGems) di Lobi Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Syarat utama permohonan adalah anak Selangor berusia 40 tahun ke bawah dan hanya layak untuk perkahwinan pertama sahaja.

Pendaftaran permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang igems.yawas.my bermula 18 November ini.

“Sebagai penghargaan kepada mereka yang terlepas Program Insentif Perkahwinan Belia, Program iGems dibuka kepada mereka yang berkahwin bermula 1 September 2018 hingga terkini.

“Bagi yang berkahwin 1 September 2018 sehingga 31 Disember 2019, permohonan boleh dibuat sehingga 31 Jun 2020.

“Manakala bagi yang berkahwin bermula 1 Januari 2020 hingga seterusnya permohonan hanya dibolehkan dalam tempoh enam bulan selepas tarikh pernikahan,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata Yayasan Warisan Anak Selangor akan bertindak sebagai agensi pelaksana dan menguruskan keseluruhan program, manakala Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara diberi mandat melaksanakan kursus.

Katanya pelaksanaan kursus akan bermula pada Januari 2020 dan akan menjelajah ke sembilan daerah di Selangor.


Pengarang :