Nazri Kahar melontar pandangan ketika sesi pembentangan ketika Seminar PRK Tanjung Piai di Universiti Malaya, Petaling Jaya pada 22 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan perlu guna media rasmi ubah persepsi negatif

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PAKATAN) disaran menggunakan media rasmi milik mereka dengan sebaiknya, kata pengamal media, Nazri Kahar.

Beliau yang juga editor di sebuah agensi media terkenal di negara ini berkata, seharusnya kerajaan yang sudah memerintah hampir dua tahun itu menggunakan sepenuhnya media dari Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) dan Radio Televisyen Malaysia.

“Saya lihat media ini masih tidak membawa agenda kerajaan dan tidak menjawab salah faham rakyat terhadap Kerajaan PAKATAN.

“Ia termasuk isu kontroversi mengenai kononnya DAP mendominasi kerajaan, subsidi yang dipotong serta agenda nasional mengenai perumahan.

“Persepsi ini masih tidak dapat dijelaskan sehingga dilabelkan sebagai gagal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pembentangan pada Seminar Pasca Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai anjuran ILHAM Centre di Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, di sini, hari ini.

Turut sama membentangkan hasil kajian ialah Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim; Felo ILHAM Centre, Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid; Pengarah Eksekutif SAUDARA, Lim Hong Siang dan Wartawan Malaysian Insight, Cham Kok Leong.

Pada 16 November lalu, Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Tanjung Piai daripada PAKATAN dengan majoriti besar 15,086 undi.

Wee Jeck Seng (BN) mendapat 25,466 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada PAKATAN, Karmaine Sardini (10,380 undi).


Pengarang :