AGENSISELANGOR

Pelajar OKU hasil beg kitar semula guna bungkusan ‘3 in 1’

SHAH ALAM, 6 NOV: Pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Unjur berjaya menghasilkan beg kitar semula menggunakan bungkusan minuman ‘3 in 1’.

Penolong Kanan Pendidikan Khasnya, Azharizah Saimi berkata beg itu dihasil melalui program Produk Kitar Semula Insan Istimewa (Prokisis) yang mula ditubuhkan pentadbiran sekolah sejak Januari tahun ini.

Katanya sebelum menghasilkan produk, beliau bersama pelajar istimewanya memilih barangan yang tidak boleh dihantar ke pusat kitar semula termasuk bungkusan minuman ‘3 in 1’ dan gegantung (banner).

“Kami dimaklumkan kebanyakan tempat kitar semula tidak menerima bungkusan minuman ‘3 in 1’, oleh itu kami gunakannya untuk dijadikan beg dan tidak sangka hasilnya mendapat reaksi positif sekolah dan orang awam.

“Sementara pelajar yang terlibat terdiri daripada mereka yang kurang mampu untuk memberi tumpuan pada pelajaran, jadi kami khususkan mereka dalam bidang kraftangan,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Azharizah berkata beg yang dihasilkan berharga antara RM30 hingga RM100 mengikut saiz dan rekaaan.

Katanya kesemua hasil pembelian akan disalur kepada tabung sekolah sementara pelajar yang terlibat diberi upah sebagai tanda penghargaan.

“Kami dapati projek sebegini meningkatkan rasa yakin diri pelajar istimewa dan sekolah mendapati ia adalah sesuatu yang positif kepada perkembangan anak-anak OKU.

“Ini sekali gus membuktikan SMK Batu Unjur komited untuk melahirkan pelajar OKU yang mempunyai masa depan dan boleh bersaing dalam masyarakat,” katanya.


Pengarang :