BUDAYARENCANA

Tuhan sembunyikan Nur

Oleh Nursyuhaidah A. Razak

JAM berdetik tiga kali. Aku bangun membuka tingkap. Dingin. Fikiranku menerawang. Kedinginan pagi mengingatkan aku kepadamu. Apa khabar diri, aku membaca tentangmu di portal-portal berita. Hidupmu kini jadi barang tilikan warga maya, aku juga terpalit. Aku dipandang bekas isteri yang jahat. Segala hal peribadi, hal-hal paling rahsia suami-isteri telah dirobek orang. Ah sedang engkau sendiri yang melanggar batas. Hidup mati berimankan Yang Tunggal. Tetapi engkau mati… mungkin benar telahan orang, aku yang mendorongmu. Akulah punca engkau menggantung diri.

Kehidupan seperti apa yang aku katakan kepadamu – menjerat kita di dalam makna-Nya. Sehingga kita lemas dalam pengamatan fikiran sendiri. Agama, tidak membebaskan manusia malah membodohkan. Kita terperangkap di dalam limitasi dan realiti. Diri perlu dibiar fana, manusia adalah abdi tiap waktu.

Ya – sehingga engkau membuang dunia dan isterimu.

Pernah aku bertanya kepadamu, apa sebenarnya fungsi masjid – selain menjadi tempat manusia insaf sendiri-sendiri. Kaum miskin sedang bergelandang di luar ketika engkau pertahankan tempat yang engkau katakan berkat. Sebanyak-banyak wang yang engkau laburkan dalam pembinaan masjid tidak membuat ramai orang beribadah kepada Tuhan. Engkau hanya melahirkan manusia simplistik yang memperdagangkan pahala dan dosa. Masjid tidak menyempurnakan kemanusiaan. Tetapi engkau… ya, selalu tidak peduli renung fikir isterimu.

Engkau menurut tradisi bodoh orang agama. Sehinggalah pada hari itu…

‘’Masjid bukan tempat berkat!’’

Aku menjerit. Engkau melemparku dengan ucapan pengampunan kepada Tuhan – semoga Tuhan memberi petunjuk buat isteriku! Kurniakan Nur di dalam jiwa batin isteriku oh Tuhan!

 Masjid membiak rasisme

Masjid melahirkan penindas

Masjid tidak peduli orang miskin

Sepanduk yang dibawa teman-temanku dirampas. Orang-orangmu rakus memukul. Masih aku ingat pekikan mereka. Orang kafir tidak boleh masuk ke masjid! Bertaubatlah perempuan fitnah! Engkau di mimbar menguncikan mulut. Hari itu engkau membiarkan keganasan berlaku di dalam masjid. Teman-temanku diterajang perut mereka terus-menerus. Di mana kebenaran pada kata-katamu – masjid mengharmonikan semua bangsa? Apa doa-doa membela kaum feudal selama ini akhirnya membutakan mata hatimu?

Ah tidak ada lagi jalan untuk menyedarkanmu, wahai suamiku. Berbicara denganmu setelah engkau sudah selalu aku biarkan menikmati setiap inci tubuh, juga gagal. Engkau telah terjerat di dalam makna-Nya. Nah! Hari itu menjadi derhaka adalah bukti pemaknaan keberadaan Diriku sebagai hamba.

Apa khabar dirimu di sana suamiku? Barangkali engkau sedang bersoal-jawab dengan pengiring Tuhan, tidaklah Tuhan akan terus menghukum hamba-hamba-Nya yang mati bunuh diri. Dia lebih tahu pergulatan jiwa yang engkau terpaksa tanggung. Maha Penyayang Tuhan, Maha Kasih dan Maha Cinta Tuhan. Tidak akan terus engkau dihukum suamiku. Engkau suami yang santun dengan isteri-isterimu. Belum aku lupa kata-katamu ketika engkau merebahkan kepala di atas ribaku buat pertama kali, cinta kita suami isteri adalah jalan sepi yang tidak akan sanggup dilalui orang lain, di hujungnya kita akan bertemu nikmat terbesar yang tidak dapat dilawan dengan segala isi dunia, dunia ini sendiri tempat terkutuk buat kita suami-isteri, ia seperti sebuah gudang kosong yang tidak memberi apa-apa pada orang-orang Islam, harus tetap kita suami isteri berpegangan, jangan sampai jatuh di dalam lubang dunia, haruslah ditumpukan seluruh kehidupan kita suami isteri akan nikmat terbesar di hujung jalan itu – engkau isteriku, Tuhan yang memilihmu sebagai isteriku, engkau pakaianku.

Lalu aku engkau cium, malam itu. Malam esoknya, hari-hari sampai waktu siang.

Satu hal yang engkau tidak tahu tentang diriku, wahai suamiku – seberangkatnya engkau ke masjid mahu pun ke tempat isteri pertama, aku berseorangan di dalam bilik dan aku sangat mencintai keadaan itu. Waktu yang cukup lama buat aku merenung. Selalu muncul keanehan di dalam perasaan jiwaku. Bergolak-golak seperti air panas di dalam periuk. Aku kadang jadi tidak yakin denganmu. Bukankah sanggama suami isteri adalah nikmat terbesar orang-orang Islam, lalu mengapa engkau katakan dunia seperti gudang kosong lagi terkutuk? Apa betul tiada jalan pintas untuk perempuan ke syurga selain wajib jadi isteri yang taat, ah aku cinta dan aku juga ragu-ragu denganmu. Cepat-cepat aku sangkal keraguanku dengan beristighfar kepada Tuhan. Aku isterimu yang dipilih Tuhan, tidak mungkin Tuhan berbuat kesilapan. Celakalah aku sebagai isteri yang mencurigai suami beriman.

Sampailah pada suatu hari, hari kemuncak segala kejadian, aku lupa bagaimana aku boleh tertidur dan bermimpikan seorang laki-laki. Dia namakan dirinya Iqbal. Dia membisik di telingaku, kendalikan diri di hadapan-Nya. Dan janganlah kau fana dalam lautan cahaya-Nya.

Aku terjaga, menggelupur ketakutan. Sebuah dosa besar untuk isteri membayang-bayangkan lelaki selain suami. Siapa Iqbal yang tiba-tiba muncul ini, aku menangis terjerit-jerit. Kepada Tuhan aku meminta kebenaran. Aku tertidur lagi pada hari yang lain, Iqbal menjerkahku – Hati-hatilah pada Hafiz, si peminum! Pada pialanya, racun kefanaan, pada kepalanya yang berserban! Aku bangun, sekali lagi menangis. Meraung sekuat hati! Aku tidak akan curang pada suamiku. Siapa Iqbal yang tiba-tiba muncul ini, jauhlah! Pergilah Iqbal! Kepada Tuhan aku meminta lagi satu-satunya kebenaran. Aku tertidur lagi, kali ini Iqbal datang dengan bayangan suamiku di sebelahnya – melodi serulingnya adalah penghambat fikiran. Jauhilah pialanya. Kerana bagi cendekia dan pembuat kebaikan, ia bagai candu yang menawan.

Jauhilah pialanya.

Aku terjaga dari mimpi buat ketiga kali itu. Kekuatan tiba-tiba datang merempuh pintu jiwaku. Jauhilah pialanya. Sepertinya kata-kata Iqbal memperkemaskan jalan perenunganku selama ini. Aku meyakini Tuhan sedang menunjukkan kebenaran. Suami yang aku cintai sedang mengalami pengalaman rohani bersatu dengan Tuhan. Dia akhirnya tenggelam, larut dalam hakikat Cinta. Duniawi ini tidak ada erti lagi buat suamiku. Berkhalwat dengan Tuhan sampai hidup miskin, tetapi lucu, suamiku takut kalau ditinggal isteri-isteri. Lebih lagi aku, isteri keduanya yang paling rupawan untuk dirangkul dan dicium. Hampir gila suamiku menanggung malu dan beban sebuah talak. Laki-laki yang gagal membawa isteri sampai ke syurga adalah laki-laki yang kehilangan fungsi. Itulah malam yang begitu sunyi, malam dia menjerut kepala dengan kain serbannya sendiri. Sudah terjeratlah dia dalam makna bertuhan sehingga melankolis yang keterlaluan.

Di hujung katil, aku mendengar Iqbal bersenandung – condongkan hatimu lagi kepada salma Arabi.

 


Pengarang :