Rodziah Ismail bergambar bersama penerima pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang dan Bantuan Kembali Ke Sekolah di sini pada 14 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

537 keluarga terima baucar bantuan sekolah

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 14 DIS: Sebanyak 537 keluarga menerima baucar bantuan persekolahan bagi membeli kelengkapan anak-anak tahun hadapan.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata baucar mengikut tanggungan keluarga itu boleh diguna bermula hari ini hingga 31 Januari 2020.

Rodziah Ismail menyerahkan bantuan persekolahan pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang dan Bantuan Kembali Ke Sekolah di sini pada 14 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Bagi keluarga yang mempunyai seorang anak, mereka menerima baucar RM50, dua orang anak (RM70), tiga orang anak (RM120) dan empat orang anak (RM200),” katanya kepada SelangorKini pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang dan Bantuan Kembali Ke Sekolah di sini hari ini.

Pada majlis itu, Rodziah turut meraikan 138 pelajar cemerlang membabitkan sepuluh sekolah dalam Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR).

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga berkata seramai 59 orang mendapat 5A, 47 orang (6A), 19 orang (7A) dan 9 orang (8A).

“Peningkatan cemerlang pelajar ini meningkat 20 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.

Pada masa sama, katanya Kerajaan Negeri mewujudkan program Tuisyen Rakyat “Awesome” secara dalam talian membabitkan pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia dan UPSR pada tahun hadapan.


Pengarang :