Dr Siti Mariah Mahmud (tengah) bersama peserta OKU pada Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Pemberdayaan OKU Negeri Selangor 2019 di MAEPS, Serdang pada 14 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Wujud ‘Star Rating’ iktiraf bangunan mesra OKU

SERDANG, 14 DIS: Kerajaan Negeri sedia meneliti cadangan mewujudkan sistem ‘Star Rating’ bagi mengiktiraf keberadaan bangunan bersifat mesra Orang Kurang Upaya (OKU) di Selangor.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata pendekatan itu salah satu daripada tiga perkara utama yang digariskan dalam mengupayakan kelompok terbabit di bawah aspek hak penyediaan berkualiti.

Katanya hal itu selaras komitmen Kerajaan Negeri bagi meningkatkan kefahaman rakyat melalui agenda pengarusperdanaan OKU dalam setiap program.

“Kita akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Pihak Berkuasa Tempatan untuk memulakan usaha menjalankan audit akses kepada bangunan sedia ada bagi tujuan penambahbaikan.

Dr Siti Mariah Mahmud berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Pemberdayaan OKU Negeri Selangor 2019 di MAEPS, Serdang pada 14 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Malah, pembinaan bangunan berserta infrastruktur yang lengkap bersifat mesra OKU diwajibkan dengan mengguna pakai segala peruntukan termaktub dalam Malaysian Standard 1884, Seksyen 34A Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (Uniform Building By Law (UBBL) 1984) dan Akta OKU 2008 khususnya kepada premis milik Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama ketika merasmikan Persidangan OKU Selangor 2019 bertemakan ‘OKU Berdaya Penggerak Negara’ di MAEPS Serdang di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS), Fahda Nur Ahmad Kamar dan Timbalan Pengerusi MTOS merangkap Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UNISEL, Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh.

Menyentuh aspek pemerkasaan dan kelangsungan hidup golongan itu, Ahli Dewan Negeri Seri Serdang berkata pihaknya juga akan sedaya upaya memperluas pemakaian Dasar Satu Peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU.

Katanya semua agensi di bawah Kerajaan Negeri digesa untuk bersama mencapai sasaran dasar berkenaan.

“Matlamat dasar ini mampu dicapai melalui pelantikan mana-mana OKU yang layak untuk ditempatkan dalam sistem pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Ini kerana mereka (OKU) sebagai sebahagian daripada pihak yang terlibat dalam membuat perancangan dan keputusan,” katanya.


Pengarang :