Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao bercakap kepada media selepas sesi walkabout di Pasar Karat Batang Kali, Hulu Selangor pada 28 April 2024. Turut hadir Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calon Kerajaan Perpaduan tekad bela rakyat, teruskan legasi Kee Hiong

HULU SELANGOR, 28 APRIL: Calon Kerajaan Perpaduan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) akan meneruskan legasi penyandang seterusnya bekerja bersama pasukan mendiang Lee Kee Hiong.

Pang Sock Tao, 31, berkata jika diberi mandat beliau akan bekerja bersama pasukan dari Pusat Khidmat DUN KKB bagi meneruskan inisiatif dirancang.

“Saya anak jati Selangor dilahirkan di Ampang, menuntut pengajian di negeri ini dan KKB tidak asing buat saya yang telah memerhati gerak kerja Lee Kee Hiong.

“Jika diberi mandat, saya akan bekerja dengan pasukan mendiang, ketua kampung dan Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) di sini untuk memahami masalah rakyat,” katanya ditemui di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) KKB di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sock Tao berkata pengundi memberi maklum balas positif pada kempen hari kedua dan mengharapkan ia berkekalan hingga hari pengundian.

“Perancangan manifesto juga sedang dirangka dan ia akan diumumkan minggu hadapan.

“Saya ingin mengajak semua penduduk KKB untuk turun mengundi dan tunaikan hak memilih wakil rakyat 11 Mei ini,” katanya.

PRK DUN KKB diadakan susulan kematian Kee Hiong akibat barah pada 21 Mac lalu.

Menyaksikan pertandingan empat penjuru, Sock Tao dicabar Khairul Azhari (Perikatan Nasional), Hafizah Zainudin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

DUN tersebut mempunyai 40,226 pengundi terdiri 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang tidak hadir luar negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK KKB pada 11 Mei ini, hari pengundian awal 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.


Pengarang :