AGENDANASIONAL

IWK minta kerajaan pertimbang cadangan naikkan tarif khidmat pembetungan

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan cadangan untuk menaikkan tarif khidmat pembetungan yang disediakan syarikat pembentungan negara, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), pada suku pertama tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, M. Narendan berkata perkara itu telah dikemukakan kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

“Sejak 25 tahun tidak pernah ada kenaikan tarif khidmat pembentungan… sekarang kos operasi ialah RM18 bagi setiap rumah tetapi kita hanya kenakan caj RM0.08 satu meter padu dan ini antara caj yang terendah di dunia.

Kita sudah mohon, sekarang hanya tunggu maklum balas daripada kerajaan, kami harap kami boleh dapat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku khas berjudul ‘Memacu Negara’ sempena ulang tahun ke-25 syarikat itu di sini hari ini.

Beliau turut memberi jaminan jumlah kenaikan itu pada kadar minimum dan tidak akan membebankan orang ramai.

Narendan berkata pihaknya telah mengemukakan dua pilihan berkenaan cadangan kenaikan tarif, pertama dengan menyelaraskan semua kategori tarif domestik kepada RM8 dan mengecualikannya bagi golongan berpendapatan rendah (B40) serta yang berdaftar dengan e-Kasih.

Sementara untuk pilihan kedua ialah kenaikan minimum RM2 bagi setiap kategori.

Mengenai pengebilan bersepadu air dan pembentungan IWK, Narendan berkata proses menandatangani dokumen berkaitan bersama dengan salah sebuah syarikat bekalan air akan diadakan pada Jumaat ini dan ia dijangka dimulakan pada tahun depan.

“Selain memudahkan pelanggan membuat pembayaran bil apabila kedua-duanya digabungkan, pengebilan bersepadu ini juga bertujuan meningkatkan kecekapan kadar kutipan tahunan sehingga 90 peratus berbanding ketika ini hanya sekitar 57 peratus,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :