AGENDANASIONAL

Bawa imej parti kerajaan, kajian jangka Warisan rampas Kimanis

SHAH ALAM, 16 JAN: Tinjauan sebuah firma penyelidik menunjukkan Parti Warisan Sabah (Warisan) mendahului dan berupaya merampas kerusi Parlimen Kimanis yang dimenangi Barisan Nasional dalam pilihan raya pada 2018.

Kajian secara tatap muka oleh Ilham Centre pada 11 hingga 14 Januari lalu mendapati imej parti kerajaan memberi kelebihan apatah lagi pengundi cenderung kepada parti pemerintah.

“Pengundi beranggapan penting untuk memilih parti kerajaan supaya kebajikan, kemajuan dan pembangunan mampu dibawa ke kawasan mereka berbanding memilih parti yang bukan pemerintah,” kata firma itu.

Menurut firma itu, pengikut BN dan parti komponennya bersedia memberi undi kepada Warisan susulan penghijrahan beberapa pemimpin.

Kajian sama turut mendapati ciri tradisi politik Sabah berpaksikan personaliti masih memainkan peranan besar dalam mempengaruhi kempen dan psikologi politik negeri.

“Kepimpinan dan ketokohan (Datuk Seri) Shafie Apdal, strategi menubuhkan parti lokal bersifat kenegerian serta kerjasama strategik dengan parti dalam Pakatan antara faktor utama kenapa BN Sabah yang ditunjangi Umno akhirnya kalah dan kehilangan Kerajaan Negeri,” kata firma itu.

Tinjauan Ilham Centre membabitkan 401 responden yang juga pengundi di Kimanis mewakili etnik, jantina, umur dan lokaliti.

Demografi Kimanis menunjukkan 67 peratus terdiri daripada muslim Bumiputera, bukan muslim Bumiputera (30 peratus), Cina (tiga peratus) dan lain-lain (0.3 peratus).


Pengarang :