Sampah yang dibuang di kawasan pembuangan haram di Jalan Sungai Tua Ulu Yam selepas halangan konkrit diletakkan MPS dialihkan pihak tidak bertanggungjawab pada 26 Februari 2020. – Foto ihsan MPS
PBTSELANGOR

MPS buat laporan polis ke atas pembuang sampah haram

SELAYANG, 27 FEB: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membuat laporan polis berhubung tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengalihkan penghalang konkrit di kawasan pembuangan sampah haram di Jalan Sungai Tua Ulu Yam di sini semalam.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata pihaknya akan menjalankan siasatan dan merangka pelan tindakan untuk memastikan kegiatan pembuangan sampah secara haram dapat dibanteras.

“Hanya sehari diletakkan, kita dapati halangan berkenaan dialihkan pihak yang disyaki terlibat dengan kegiatan pembuangan sampah haram.

“Insiden ini seolah-olah mencabar usaha MPS untuk membenteras aktiviti pembuangan sampah haram di kawasan pentadbiran MPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MPS dan Jabatan Kerja Raya Daerah Gombak memasang halangan konkrit di kawasan pembuangan sampah haram di Jalan Sungai Tua Ulu Yam pada 25 Februari 2020 sebelum dialihkan pihak tidak bertanggungjawab pada keesokan harinya. Foto ihsan MPS

Beliau memberi amaran keras kepada pembuang sampah haram supaya tidak mencabar pihaknya kerana mereka boleh dikenakan hukuman berat mengikut peruntukan undang-undang.

“Pemantauan di semua lokasi `panas’ terutama di lokasi ini akan diteruskan supaya tiada lagi pencerobohan dan pembuangan sampah haram,” katanya.


Pengarang :