Pemakaian topeng mulut dan hidung oleh orang ramai dilihat sudah menjadi kebiasaan sebagai langkah pencegahan susulan penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar ibu kota pada 7 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Lagi 10 kes positif dilapor dalam negara hari ini

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Sepuluh kes baharu Covid-19 dilapor setakat 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 di negara ini sebanyak 93 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kesemua kes ini telah dikesan dan diasingkan untuk rawatan lanjut.

“Kontak-kontak rapat kes ini juga sedang dikenal pasti untuk siasatan dan pengambilan sampel selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pertambahan kes itu menjadikan keseluruhannya seramai 75 warganegara Malaysia yang dikesan positif, China (15), dan tiga yang lain masing-masing warganegara Amerika Syarikat, Jepun serta Itali.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, 23 kes telah sembuh dan discaj dari hospital, manakala 70 lagi masih dirawat di beberapa hospital, setakat ini.

Dr Noor Hisham berkata kesemua kes baharu yang dilaporkan itu merupakan kontak rapat kepada kes ke-33, dengan empat kes merupakan generasi pertama kontak rapat manakala selebihnya adalah generasi kedua kontak rapat.

Beliau berkata kesemua kes tersebut dikesan semasa aktiviti pengesanan kontak dan mereka telah dimasukkan ke hospital bagi isolasi dan rawatan selanjutnya.

Sementara itu, hasil siasatan terhadap kontak rapat kepada kes ke-26 mendapati satu kluster jangkitan Covid-19 dengan sejumlah 132 kontak rapat dikenal pasti turut berkait dengan kes ke-33.

Daripada jumlah tersebut, menurutnya 18 kes disahkan positif dalam keadaan stabil dan masih dirawat di hospital, manakala 38 didapati negatif dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah untuk tempoh 14 hari.

Selebihnya, seramai 76 lagi kontak rapat, masih belum diperoleh keputusan makmal, namun kesemuanya dilaporkan sihat dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, jelasnya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa kes ke-78 yang dilaporkan semalam, merupakan kes yang dikesan daripada Pesakit Dalam Siasatan (PUI) jangkitan Covid-19.

“Kes ini mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia selama tujuh hari bermula pada 13 Februari lepas dan mula bergejala pada 19 Februari lepas.

“Sebanyak 67 orang kontak rapat telah dikesan dan diambil sampel. Kesemua kontak rapat ini diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah,” tambahnya.

Sementara itu, beliau berkata siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat terus dijalankan pihaknya bagi mengenal pasti punca bagi mencegah penularan jangkitan tersebut.

Ini, katanya termasuk mengesan kes sporadik dan kes tempatan melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara yang terjejas atau kontak dengan kes positif Covid-19.

“Sehingga hari ini, sebanyak 432 sampel diuji dan setakat ini tiada sampel dikesan positif jangkitan Covid-19. Buat masa ini tiada kes sporadik Covid-19 yang dikesan melalui aktiviti survelan ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :