Foto Facebook Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
BERITA UTAMA

Covid-19: Satu lagi kematian, 11 keseluruhan

SHAH ALAM 23 MAC: Satu lagi pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiagaan dan Tindakan Krisis (CPRC) Kebangsaan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pelaporan terbaharu ini menjadikan jumlah kumulatif 11 kes kematian Covid-19 di Malaysia.

“Kes kematian kesebelas ini (kes ke-1070) merupakan seorang warganegara Malaysia berusia 70 tahun dengan latar belakang penyakit kronik.

“Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia pada Februari 2020. KKM juga dimaklumkan beliau merupakan Pengerusi surau kawasan setempat beliau,” kata Noor Hisham dalam kenyataan media.

Noor Hisham berkata pesakit itu mula menunjukkan gejala seminggu sebelum dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM pada 18 Mac.

Beliau disahkan positif Covid-19 pada 19 Mac dan diberi bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Kesihatannya merosot hari demi hari dan disahkan meninggal dunia pada 22 Mac, 9.05 malam. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga pesakit,” katanya.


Pengarang :