Notis penutupan Masjid Bandar Baru Ampang ditampal di pintu pagar masjid berikutan Perintah Kawalan Pergerakan pada 21 Mac 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jais: Masjid patuh arahan tangguh solat jemaah, Jumaat

SHAH ALAM, 22 MAC: Semua masjid, surau dan musolla di negeri ini mengikuti arahan menangguhkan solat berjemaah serta Jumaat susulan Perintah Kawalan Pergerakan mencegah penularan Covid-19.

“Tiada laporan diterima daripada orang ramai berhubung kegiatan itu,” kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Mohd Shahzihan Ahmad ketika dihubungi Selangorkini, hari ini.

Pada 17 Mac lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua kegiatan di masjid, surau dan musolla termasuk solat Jumaat di seluruh negeri ditangguhkan sebulan berikutan penularan Covid-19.

Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah solat Jumaat wajib digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing.

Baginda bertitah laungan azan perlu dilaksanakan seperti biasa menandakan masuk waktu solat dan menggalakkan rakyat membaca qunut Nazilah untuk memohon perlindungan Allah SWT.

Ketetapan itu selaras Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bermula 18 hingga 31 Mac, yang dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.


Pengarang :