Orang ramai membeli barangan keperluan harian ketika tinjauan di sekitar Pasar Kajang pada 19 Mac 2020 susulan Perintah Kawalan Pergerakan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM: Peruntukan RM130 juta bantu Kerajaan Negeri tangani Covid-19

PUTRAJAYA, 23 MAC: Kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan RM130 juta kepada negeri-negeri bagi  menangani krisis Covid-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata peruntukan ini boleh digunakan untuk memberi bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil, bantuan kepada pesakit Covid-19 dan ahli keluarga mereka serta menyediakan keperluan kepada petugas-petugas di peringkat kerajaan negeri yang terlibat dalam menangani krisis ini.

“Peruntukan sama rata akan diberi kepada setiap negeri, tanpa mengira parti mana yang membentuk Kerajaan Negeri berkenaan. Krisis yang sedang kita hadapi ini memberi kesan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kecenderungan politik,” katanya pada sidang media di sini hari ini yang disiarkan secara langsung oleh televisyen dan media sosial.

Jelas Muhyiddin, semua pihak tanpa mengira fahaman politik mestilah bersama-sama berganding bahu dan bersatu-padu untuk menangani krisis yang sedang dihadapi ini.

“Menjaga keselamatan rakyat, kesihatan rakyat dan nyawa rakyat adalah tanggungjawab bersama yang melangkaui batas politik,” tegasnya.

Terdahulu, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi yang antara lain mendapatkan penerangan terperinci mengenai situasi terkini kewangan negara.

Ini termasuk penurunan mendadak harga minyak mentah dunia dan penularan wabak Covid-19 yang memberi kesan ke atas pertumbuhan ekonomi dan kedudukan semasa kewangan negara.

– BERNAMA


Pengarang :