Sebanyak 34,090 kes demam denggi dilaporkan di Selangor dari Januari hingga 1 Ogos.
EXCOSELANGOR

596 kes baharu denggi di Selangor, dua mati

SHAH ALAM, 22 APRIL: Selangor mencatatkan 596 kes baharu denggi dengan dua kematian bagi minggu epid ke-16 iaitu pada 12 hingga 18 April lalu, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata jumlah itu menyaksikan peningkatan tujuh peratus berbanding 557 kes pada minggu epid sebelumnya.

Beliau berkata secara keseluruhan terdapat 22,776 kes denggi dengan 25 kematian di negeri itu sejak Januari hingga 18 April lalu berbanding 24,255 kes dan 19 kematian dalam tempoh sama pada tahun lalu iaitu 6.1 peratus penurunan kes.

“Bagaimanapun, kes kematian menunjukkan peningkatan 31.6 peratus pada tahun ini apabila terdapat dua kes kematian dilaporkan pada minggu epid ke-16 yang dikesan di Hulu Selangor dan Klang,” katanya menerusi Facebook.

Dr Siti Mariah berkata pihaknya sedang menilai kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap penurunan kes denggi untuk persediaan kemungkinan peningkatan kes mendadak selepas tamat tempoh berkenaan.

Beliau berkata lokasi wabak tertinggi denggi setakat ini adalah di Petaling dengan 7,372 kes, diikuti Klang (4,582) dan Hulu Langat (3,709), manakala Sabak Bernam paling rendah iaitu 69 kes.

“Diharapkan kerjasama masyarakat terutama yang berada di lokaliti wabak denggi supaya mengambil langkah pencegahan untuk membantu mengurangkannya serta mematuhi segala arahan Kementerian Kesihatan dalam menghadapi wabak Covid-19,” katanya.


Pengarang :