Sekatan jalan raya dilaksanakan polis bersama tentera ketika Perintah Kawalan Pergerakan di Pekan Dengkil, Kuala Langat pada 3 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Covid-19: Rakyat patuh PKP tergolong pasukan barisan hadapan

SHAH ALAM, 4 APRIL: Menteri Kesihatan berterima kasih kepada rakyat yang mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menyifatkan golongan itu juga pasukan barisan hadapan yang sama-sama memerangi wabak Covid-19.

Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, walaupun peraturan itu bukan mudah tetapi negara memerlukan seluruh rakyat memberi kerjasama.

“Terima kasih rakyat  kerana mempercayai kementerian kesihatan dalam mencegah Covid-19. Biarpun petugas kesihatan dikenali sebagai barisan hadapan, tetapi hakikatnya anda rakyat Malaysia juga adalah barisan hadapan,” kata beliau menerusi video 39 saat yang disiarkan di Twitter rasminya malam tadi.

Dr Adham juga menggunakan tanda pagar #StayHome dan #BreakThChain bagi menarik perhatian orang ramai supaya kekal berada di rumah serta mematuhi PKP yang memasuki hari ke-18.

“Duduk rumah, penjarakan sosial, amalkan kebersihan, putuskan rantaian Covid-19, kita mesti menang!,” kata beliau.

Malaysia merekodkan 3,333 pesakit positif Covid-19 dengan 53 kematian setakat semalam.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melabelkan wabak itu sebagai pandemik yang makin pantas merebak apabila merekodkan 1,013,374 kes di seluruh dunia dengan kematian 52,986 orang membabitkan 180 negara.


Pengarang :