AGENDANASIONAL

MB: Piala Duduk Rumah kutip RM36,488

SHAH ALAM, 10 APRIL: Sebanyak RM36,488 berjaya dikutip melalui penganjuran Kejohanan Permainan Siber Selangor (SCG) 2020 Edisi Piala Duduk Rumah yang melabuhkan tirai malam tadi.

Melalui Twitter, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berterima kasih kepada semua penyumbang sepanjang dua hari kejohanan itu berlangsung.

“Nantikan SCG 2020 yang akan berlangsung selepas kita berjaya lawan Covid 19,” tulisnya hari ini.

Amirudin turut mengucapkan tahniah kepada pemenang bagi kategori PUBG Mobile iaitu NED Brotherhood.

Malam tadi, Team Bosskurr dinobat juara bagi kategori Mobile Legend Bang Bang selepas membenam Geek Fam 2-1 pada aksi akhir.

Kejohanan anjuran Pejabat Dato’ Menteri Besar melalui Pemerbadanan Menteri Besar dan IO Esports dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor bertujuan menggalakkan orang ramai duduk di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan RM40,000, manakala yuran penyertaan RM10 akan didermakan ke Tabung Covid-19 Selangor.

Selain berpeluang menyaksikan pasukan pilihan berentap dalam gelanggang maya, penonton juga diberi peluang untuk menderma ‘stars’.


Pengarang :