Ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia melakukan operasi nyahkuman di sekitar kawasan sekatan jalan raya pada 5 April 2020 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sungai Lui Batu 21, Hulu Langat. Foto BERNAMA
PBTSELANGOR

Operasi pembersihan awam di Sepang bermula hari ini

SHAH ALAM, 15 APRIL: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) melaksanakan Ops Sanitasi Awam atau pembersihan di kawasan pentadbirannya membabitkan dua fasa mulai hari ini.

Ia membabitkan 2,584 unit lot komersial; 147 kedai makan, medan selera dan pusat penjaja; 15 stesen serta hentian bas; selain premis seperti bengkel, dewan serbaguna, masjid serta surau.

MPSepang menerusi kenyataan di Facebooknya berkata operasi tersebut dilaksanakan bersama Pejabat Kesihatan Daerah Sepang, bomba serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Operasi memfokuskan kawasan tumpuan awam, kaki lima pusat perniagaan dan komersial serta persekitaran yang berpotensi (menjadi lokasi penularan Covid-19),” kata kenyataan itu.

Fasa pertama operasi bermula di Dengkil hari ini, disusuli esok di Sungai Merab Luar serta pada Jumaat di Bandar Baru Salak Tinggi dan Salak Tinggi.

Fasa kedua bermula 20 April di Taman Putra Perdana, Kota Warisan pada 21 April manakala Cyberjaya dan Southville pada 22 April.


Pengarang :