Anggota polis dibantu tentera melakukan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di Jalan Ampang pada 1 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Trend tangkapan individu ingkar PKP turun 21.18 peratus

SHAH ALAM, 4 APRIL: Kadar tangkapan individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua di seluruh negara mencatatkan penurunan 21.18 peratus, kata menteri kanan (Kluster Keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah tangkapan dan penahanan semalam ialah 413 berbanding 524 pada hari sebelumnya.

“Terdapat penurunan dari segi jumlah tangkapan dan saya berharap trend menurun ini kekal berterusan.

“Ia mungkin boleh dianggap sebagai gambaran bahawa pematuhan semakin meningkat,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri PKP di Putrajaya hari ini.

Katanya, sehingga kini seramai 30 individu direman dan 33 yang lain telah diberikan jaminan, manakala 362 dituduh di mahkamah.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata setakat semalam, polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka 184 kertas siasatan berhubung penyebaran berita tidak sahih.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 20 kes telah didakwa di mahkamah.

“Saya menyeru rakyat sama-sama membantu kerajaan menyelesaikan isu Covid-19 dan bukan cuba menimbulkan suasana tidak tenang dalam kalangan rakyat.

“Kerajaan serius untuk memastikan tindakan tegas diambil kepada penyebar berita palsu dan tiada sesiapa akan terlepas daripada undang-undang,” katanya.


Pengarang :