Suasana kemeriahan Bazaar Ramadan. Sumber: Arkib SelangorKini
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Vendor bazar Ramadan kena pulangkan deposit kepada peniaga

SHAH ALAM, 10 APRIL: Vendor bazar Ramadan dan jualan Hari Raya Aidilfitri di negeri ini diminta memulangkan semula wang pendahuluan yang dibayar peniaga bagi sewa tapak ekoran pembatalan aktiviti tersebut tahun ini, kata EXCO usahawan.

Rodziah Ismail berkata, jika ada pihak vendor yang sudah mengeluarkan kos awal seperti untuk promosi, mereka perlu jujur dan mungkin boleh membuat sedikit potongan daripada peniaga bagi menampung kos yang sudah dikeluarkan.

Katanya, beliau menerima banyak aduan daripada peniaga yang memaklumkan vendor bazar Ramadan dan jualan perayaan enggan memulangkan wang pendahuluan tersebut.

“Jadi saya cadangkan pulangkan wang deposit itu, kalau tidak dapat keseluruhan, pulangkan sebahagian besar.

“Contoh kalau RM1,000 mungkin boleh buat pemotongan RM200 untuk kos awal seperti promosi, saya rasa itu tidak ada masalah bagi pihak peniaga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rodziah berkata, adalah menjadi kesalahan jika vendor terus simpan wang tersebut dengan alasan untuk digunakan pada bazar akan datang.

“Perkara ini tidak boleh sebab kita tidak tahu situasi akan datang bagaimana,” katanya.

Justeru, katanya, vendor diminta lebih bertimbang rasa dalam keadaan negara yang masih berhadapan wabak Covid-19.

“Pulangkan semula wang deposit peniaga, mungkin itu simpanan mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Pada 1 April lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Kerajaan Negeri membatalkan bazar Ramadan di seluruh negeri tahun ini susulan wabak Covid-19.


Pengarang :