Sekatan jalan raya dilakukan polis bersama tentera semasa Perintah Kawalan Pergerakan di pekan Dengkil, Sepang pada 3 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerjasama JPJ, polis boleh tingkatkan rondaan dan sekatan jalan

SHAH ALAM, 10 APRIL: Polis akan meningkatkan rondaan dan sekatan jalan raya susulan penglibatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerjasama bermula semalam itu juga turut membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) walaupun kadar pematuhan rakyat setakat ini 97 peratus.

“Hasil daripada kerjasama baharu bersama JPJ, sekatan jalan raya akan ditambah lagi dan polis menambahkan lagi rondaan, pemeriksaan mengejut dan sebagainya,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebanyak 775 sekatan jalan raya di lakukan di seluruh negara semalam dan pemeriksaan dibuat ke atas 508,605 kenderaan.

Polis turut melakukan 38,854 pemeriksaan mengejut manakala 5,538 premis diperiksa oleh pihak berkuasa.

Seramai 666 individu pula ditahan kerana ingkar PKP dengan 392 individu dikenakan kompaun RM1,000, manakala 263 individu direman dan 11 orang dijamin polis menjadikan jumlah keseluruhan ditahan adalah 7,479 orang.


Pengarang :