Seorang wanita memakai pelitup muka ketika berjalan di hadapan pusat membeli-belah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur selepas kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi pada 6 Mei 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

94.4 peratus kawasan seluruh negara kini zon hijau

SHAH ALAM, 10 MEI: Sebanyak 1,112 atau 94.4 peratus mukim, bahagian, zon, sub-zon dan presint di seluruh negara, kini dikategorikan sebagai zon hijau apabila tidak mencatatkan sebarang kes baharu Covid-19 sejak dua minggu lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sebanyak 62 atau 5.2 peratus mukim, bahagian, zon, sub-zon dan presint pula dikategorikan sebagai zon kuning, dan hanya empat atau 0.34 peratus yang masih berstatus merah.

Beliau berkata, kawasan yang berstatus zon merah adalah lokasi yang masih mencatatkan lebih 40 kes positif Covid-19.

“Hasil usaha bersungguh-sungguh dilakukan petugas barisan hadapan dan disiplin saudara-saudari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) dilaksanakan, kita berjaya menjadikan hampir seluruh mukim atau zon di negara kita berstatus hijau.

“Bagi penduduk di kawasan hijau, jangan ingat anda semua telah selamat dan boleh bergerak ke sana sini dengan bebas.

“Saudara-saudari mungkin beranggapan yang anda tidak akan dijangkiti wabak ini kerana berada di kawasan hijau, tetapi saya nak ingatkan yang virus Covid-19 ini adalah musuh senyap yang kita tak nampak.

“Ia boleh menyerang kita pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Jadi, berhati-hatilah. Penjarakan sosial, memakai topeng mulut dan hidung, dan membersih tangan mesti terus diamalkan sehingga kita berjaya menemui vaksin untuk virus ini,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung, hari ini.


Pengarang :