Paparan skrin LHDN bagi memohon BPN. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tempoh rayuan mohon BPN dilanjut hingga 31 Mei – PM

SHAH ALAM, 10 MEI: Menteri Kewangan bersetuju untuk melanjutkan tempoh rayuan permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sehingga 31 Mei ini,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata lanjutan tempoh itu selepas mengambil kira rungutan orang ramai yang gagal menerima bayaran itu atas pelbagai sebab.

“Antaranya kerana maklumat yang diisi tidak lengkap, ada juga yang permohonannya ditolak kerana dalam rekod menunjukkan pendapatan melebihi syarat kelayakan. Tetapi mereka sebenarnya telah hilang pekerjaan dan hilang sumber pendapatan.

“Ada juga antara yang memohon adalah pelajar yang telah menerima bantuan BPN bagi kategori pelajar. Jadi permohonan mereka untuk mendapatkan bayaran BPN bagi kategori bujang ditolak,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri hari ini.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata selain menghantar e-mel, pemohon yang mana permohonan mereka tidak diluluskan boleh hadir ke kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk membuat rayuan bermula esok.

“Bagi negeri-negeri yang bercuti esok, bolehlah pergi ke kaunter LHDN pada Selasa 12 Mei.

“Saya tak berjanji semua rayuan boleh diluluskan. Tetapi mana-mana rayuan yang memenuhi syarat dan munasabah, insya-Allah boleh diluluskan,” katanya.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata setakat semalam kerajaan telah meluluskan 2.3 juta permohonan BPN, termasuk permohonan baharu dan rayuan, yang melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.7 bilion.

“Dengan kelulusan tersebut, jumlah penerima BPN setakat ini ialah 10.6 juta orang yang melibatkan bayaran berjumlah RM11 bilion,” katanya.


Pengarang :