AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Anwar ajak umat Islam hayati lima intisari al-Quran

SHAH ALAM, 11 MEI: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam di negara ini menghayati lima intisari al-Quran seperti yang ditekankan ulama terkenal Sheikh Mohammed al-Ghazali al-Saqqa.

Presiden KEADILAN ketika menyampaikan tazkirah menerusi Facebook malam tadi sempena Nuzul al-Quran berkata tokoh Mesir itu menekankan aspek kefahaman dan sistem nilai termasuk menolak kemungkaran, kezaliman dan fasad.

“Bila kita baca (al-Quran), kita tengok cara beliau (Mohammed al-Gazali) mengungkap al-Quran dengan mengupas lima intisari utama misalnya isu ekonomi, pentadbiran, kritikan sosial, penegakan keadilan dan pengagihan hak.

“Jadi, kita akan menangkap bahawa al-Quran bukan seperti yang difahami sebagai hanya dari segi spiritual tetapi ditingkatkan terutama soal kehidupan, ekonomi, kemiskinan dan sistem nilai,” katanya.

Mohammed al-Ghazali, meninggal dunia pada 1996, dianggap tokoh pemikir Islam yang metodologinya menggabungkan nas dan akal selain ilmu asas semasa.

Beliau menghasilkan 94 buku termasuk Al-Islam wa al-Awda’ al-Iqtisadiyyah (Islam dan Kedudukan Ekonomi); Al-Islam wa al-Manhaj al-Istirakiyyah (Islam dan Metodologi Sosialis) dan Islam wa Istibdad al-Siyasi (Islam dan Politik Diktator).

Selain itu, Anwar, ahli parlimen Port Dickson, berkata umat Islam harus menghayati nilai kandungan dalam al-Quran, bukan semata-mata perincian hafalan aspek tertentu.

“Renung untuk fahami perimbangan sistem nilai. Tiada lagi kekeliruan (walaupun) belajar, baca al-Quran tetapi hendak pilih yang baik dengan rosak, yang maaruf dan rasuah masih keliru, Maknanya penghayatan sistem nilai masih terbantut,” katanya.

Sepanjang tazkirah lebih 30 minit, beliau juga ada mengupas pandangan tokoh Islam lain termasuk Ibnu Khaldun dan Sheikh Dr Taha Jabir Al Alwani.


Pengarang :