Sampel saringan Covid-19 individu yang akan dihantar bagi mendapat keputusan sebelum persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19 catat 37 kes baharu, 21 babit warga asing

SHAH ALAM, 13 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan 37 lagi kes baharu Covid-19 hari ini, dengan 21 daripadanya dalam kalangan bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat empat kes import dan 33 kes penularan tempatan, menjadikan keseluruhan kes sebanyak 6,779.

“Sehingga kini, seramai 16 kes Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi. Daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata jumlah pesakit sembuh bertambah 58 orang, menjadikan jumlah kumulatif pulih mencecah 5,281 iaitu 77.9 peratus dari jumlah keseluruhan.

Dr Noor Hisham turut memaklukan dua kes kematian baharu menjadikan jumlah yang maut 111 orang.

“Kes-110 membabitkan lelaki tempatan berusia 30 tahun ditemui mati di Rompin, Pahang semalam. Ujian sampel ketika bedah siasat mendapati mangsa positif Covid-19 dan kes diletakkan bawah polis serta Jabatan Kesihatan Rompin.

“Kes-111 membabitkan lelaki tempatan berusia 90 tahun yang mempunyai sakit darah tinggi dan pernafasan. Beliau disahkan meninggal dunia jam 10.36 pagi tadi,” katanya.


Pengarang :