AGENDANASIONAL

Geramm protes halangan media buat liputan sidang Parlimen 18 Mei

SHAH ALAM, 9 MEI: Speaker Dewan Rakyat digesa mempertimbangkan semula arahan yang mengehadkan hanya agensi media rasmi kerajaan boleh membuat liputan sidang Parlimen pada 18 Mei ini.

Gerakan Media Merdeka (Geramm) dalam kenyataan hari ini berasa terkejut dan kecewa dengan arahan yang hanya membenarkan Radio Televisyen Malaysia dan Bernama membuat liputan.

“Kami ingin memohon pertimbangan agar arahan tersebut ditarik balik dan semua agensi media dibenarkan untuk berada di Parlimen bagi membuat liputan kerana kami percaya tiada keperluan larangan sedemikian dikeluarkan,” katanya di Facebook.

Geramm turut kesal dengan alasan Dewan Rakyat bahawa langkah itu bagi mencegah penularan Covid-19 walaupun Perintah Kawalan Pergerakan dijangka tamat sebelum sidang Parlimen bermula.

“Geramm tegas dengan pendirian untuk menolak norma baharu yang semakin menyempitkan ruang kebebasan media Malaysia,” kata kenyataan itu yang turut menegaskan tontonan melalui siaran langsung tidak mencukupi bagi menghasilkan berita yang tepat dan berimbang.


Pengarang :