Penguat kuasa KPDNHEP Selangor memeriksa harga barangan di sebuah pasar raya di Petaling Jaya. Foto Facebook KPDNHEP Selangor
AGENSISELANGOR

Peniaga Selangor patuh skim harga maksimum musim raya

SHAH ALAM, 20 MEI: Pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mendapati peniaga pasar awam, pasar raya, kedai runcit dan farmasi mematuhi arahan kementerian supaya meletakkan tanda harga di setiap barang yang dijual.

Unit medianya memaklumkan, pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dilakukan di sekitar Gombak, Petaling Jaya dan Sepang hari ini bagi memastikan harga maksimum barang kawalan dipatuhi.

“Kewajipan peniaga adalah memastikan harga maksimum musim perayaan dipatuhi dan dilabelkan dengan warna merah jambu. Alat timbang dan sukat juga ditentusahkan,” katanya menerusi Facebook.

Pemeriksaan ke atas farmasi juga mendapati bekalan topeng muka dan cecair pembasmi kuman mencukupi selain dua aduan daripada orang awam di Petaling Jaya disiasat serta diselesaikan.

Agensi itu turut mengingatkan peniaga supaya sentiasa mengamalkan etika perniagaan baik serta mematuhi undang-undang manakala pengguna pula perlu bijak berbelanja.


Pengarang :