BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Program e-sukan gilap potensi pemain

SHAH ALAM, 17 JUN: Bakat pemain e-sukan tempatan mampu diketengahkan ke peringkat antarabangsa jika semua pihak terus diberi sokongan, kata EXCO pembangunan belia dan sukan.

Mohd Khairuddin Othman berkata Kerajaan Negeri menganjurkan pelbagai kejohanan selain mendekati golongan amatur untuk meningkatkan motivasi mereka.

“Sasaran kita (Kerajaan Negeri) menerusi e-sukan untuk mendekati belia di pelbagai peringkat umur terutama mereka yang tidak berpeluang bermain di peringkat profesional. Dengan sebab itu fokus kita adalah terhadap kumpulan amatur,” katanya ketika dihubungi.

April lalu, Kerajaan Negeri menganjurkan Permainan Siber Selangor (SCG) 2020 bagi merebut Piala Duduk Rumah sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan tawaran hadiah keseluruhan bernilai RM40,000.

Sokongan terhadap e-sukan diteruskan dengan program Selangor Xtiv Virtual 2020 membabitkan acara Selangor Xtiv Virtual e-Sport, Selangor Virtual Run dan Selangor Martial Art Xtiv bagi merebut hadiah keseluruhan RM431,000 menerusi lapan fasa pertandingan yang berakhir 31 Disember ini.


Pengarang :