ALAM SEKITAR & CUACABERITA UTAMASELANGOR

MB: Buang pelitup muka di tempat betul, jaga kebersihan

SHAH ALAM, 7 JUN: Dato’ Menteri Besar menyeru rakyat supaya membuang pelitup muka, botol cecair pembasmi kuman dan sarung tangan pakai buang di tempat sewajarnya.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan barangan itu antara sampah paling banyak ditemui di Sungai Klang sejak Mac lalu.

“Sempena sambutan Hari Alam Sekitar 2020, saya ingin mengingatkan warga Selangor untuk membuang pelitup muka, botol cecair pembasmi kuman dan sarung tangan pakai buang di tempat yang sebetulnya.

“Ayuh kita jaga alam sekitar bersama-sama demi keindahan Selangor, Malaysia dan dunia,” tulisnya di Facebook.

Menurut Amirudin, Kerajaan Negeri mengutip kira-kira 1,200 hingga 1,500 tan sampah sebulan di Sungai Klang menerusi Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) sejak November tahun lalu.

“Pembersihan, pemuliharaan serta pembangunan semula kawasan bandar di sepanjang tebing Sungai Klang yang dipanggil sebagai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) sedang giat dilaksanakan bagi meningkatkan daya tarikan dan keindahan Selangor,” kata beliau.


Pengarang :