EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim dalam temubual eksklusif bersama SelangorKini di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 4 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pasar Agro Selangor diterus walau Covid-19 berakhir

SHAH ALAM, 6 JUN: Operasi Pasar Agro Selangor termasuk secara pandu lalu akan diteruskan meskipun selepas penularan Covid-19 berakhir, kata EXCO pemodenan pertanian dan asas tani.

Ir Izham Hashim berkata empat langkah diambil untuk memperluaskan operasi pasar tersebut iaitu mewujudkan tapak kekal, tapak pindah mengikut kesesuaian kawasan, agro mall dan penukaran status pasar awam menjadi pasar agro.

“Kerajaan Negeri akan berbincang dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung penukaran status pasar awam kepada Pasar Agro Selangor.

“Buat permulaan sasaran kita setiap PBT sekurang-kurangnya ada satu pasar tersebut bertukar status,” katanya pada sesi temu bual bersama Media Selangor.

Izham berkata Pasar Agro Selangor mendapat permintaan tinggi kerana harga barangan dijual berpatutan serta lebih rendah daripada harga kawalan.

“Ketika bulan puasa baru-baru ini ayam dan daging dijual di bawah harga kawalan malah semua barang keperluan lain turut dijual dengan harga murah sebab tidak melalui orang tengah.

“Saya akan adakan mesyuarat dengan Fama dalam tempoh terdekat bagaimana hendak luaskan operasi Pasar Agro Selangor serta bagaimana cara hendak pasarkan hasil tani secara terus,” katanya.

Pasar Agro Selangor mencatatkan nilai jualan sebanyak RM13 juta sejak dilancarkan pada 27 Mac lalu manakala pasar secara pandu lalu khusus untuk orang ramai membeli keperluan sempena Aidilfitri dilaksanakan pada 22 dan 23 Mei lalu mencatatkan nilai jualan RM560,000.


Pengarang :