ADNSELANGOR

Wakil rakyat gesa hadkan jual minuman keras hingga 9 malam

SHAH ALAM, 3 JUN: Pihak berkuasa tempatan digesa menetapkan undang-undang mengehadkan jualan minuman keras di premis niaga sehigga 9 malam sahaja.

Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr Gunaraj George berkata larangan itu bagi memastikan individu berumur 21 tahun ke bawah tidak mudah mendapatkan minuman beralkohol.

“Sepatutnya minuman memabukkan hanya dijual di kedai minuman beralkohol sahaja dan secara tertutup selain melarang mereka yang berusia 21 tahun ke bawah dari memasuki premis berkenaan.

“Saya pernah mencadangkan perkara ini kepada kerajaan pada 2009 ketika memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Selayang, namun usaha itu ditolak kerana perbezaan parti politik yang memerintah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Gunaraj berkata Akta Eksais 1976 juga perlu dikaji semula bagi membolehkan mereka yang menjual minuman keras tanpa lesen dikenakan hukuman penjara.

“Tindakan segera juga perlu diambil kerana banyak kedai menjual arak murah sehingga mendatangkan kemudaratan kepada peminumnya termasuk pelbagai penyakit,” katanya.


Pengarang :