AGENSISELANGOR

Kes denggi di Selangor menurun, masyarakat digesa kekal waspada

SHAH ALAM, 6 JULAI: Kes denggi di Selangor mencatat penurunan 16.8 peratus iaitu 31,007 kes sehingga minggu epid 27 yang berakhir hari ini, kata pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor(JKNS).

“Ia kurang 6,265 berbanding 37,263 kes dalam tempoh sama tahun lalu dengan Petaling muncul daerah tertinggi dengan 10,944 kes diikuti Klang (5,829), Hulu Langat (5,625), Gombak (4,457) dan Sepang (1,720).

“Kematian turut menurun tiga kes iaitu 31 berbanding 34 pada minggu sama tahun lalu,” kata Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata jumlah lokaliti wabak denggi aktif adalah 340 dengan 42 perincian lokaliti kawasan khas (hotspot), wabak tidak terkawal (40), wabak terkawal (235) dan wabak baharu (23).

Justeru, JKNS menyeru masyarakat bertindak proaktif melibatkan aktiviti kawalan serta pencegahan denggi secara menyeluruh bagi memutuskan transmisi jangkitan tersebut.

Berikut antara saranan:
1. Musnahkan tempat pembiakan nyamuk
2. Guna racun pemusnah jentik-jentik dalam bekas takungan air
3. Pakai pakaian bersesuaian, gunakan repellen
4. Laporkan kepada pihak berkuasa tempatan sekiranya tahu lokasi berpotensi biak aedes
5. Jika alami tanda demam, sakit kepala dinasihat segera jumpa doktor


Pengarang :