Dato’ Seri Amirudin Shari melihat replika model unit Rumah Selangorku ketika Majlis Penyerahan Kunci di Galeri Jualan KLK Land, Presint 2 Bandar Seri Coalfields, Sungai Buloh pada 14 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rumah Selangorku Harapan rancak sektor pembinaan pascawabak

SHAH ALAM, 13 JULAI: Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik Pasca Covid-19 (Rumah Selangorku Harapan) diperkenal bagi merancakkan semula sektor pembinaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif menyasarkan tambahan 30,000 unit rumah dalam tempoh tiga tahun dengan janaan ekonomi RM7.5 bilion.

“Pemaju boleh meminda syarat Rumah Selangorku jenis A, B, C atau D kepada satu sahaja iaitu Rumah Selangorku Harapan berkeluasan minimum 1,000 kaki persegi dijual tidak melebihi RM250,000 seunit dengan kelengkapan asas,” katanya ketika membentang pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pelan pemulihan itu menekankan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan bagi menangani dampak Covid-19.

Jumlah keseluruhan nilai ekonomi bagi pakej tersebut ialah RM55.85 bilion.

Amirudin berkata insentif rumah pasca Covid-19 membolehkan Kerajaan Selangor mendapat lebih 3,000 unit Rumah Selangorku dengan nilai hartanah melebihi RM750 juta secara percuma sehingga 2023.

Kerajaan Negeri menyasarkan pembinaan sehingga 60,000 unit Rumah Selangorku bagi tempoh tiga tahun bermula tahun ini sehingga 2023.

Setakat 15 November tahun lalu, sebanyak 277 projek pembangunan rumah mampu milik dilaksana membabitkan 121,695 unit.


Pengarang :