Sebahagian warga tempatan yang dikuarantin di Hotel Impiana, Kuala Lumpur pada 16 April 2020 melambaikan tangan tanda sokongan kepada barisan hadapan yang bertugas merawat jangkitan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Covid-19: Ikut arahan kuarantin, elak sebar virus

SHAH ALAM, 30 OGOS: Individu dari luar negara perlu mengikuti tatacara operasi piawai (SOP) kuarantin bagi mengelak ‘malapetaka’ penularan jangkitan Covid-19.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata sembilan daripada 11 kes yang dilapor minggu lalu di negeri ini membabitkan kes import.

“Dua kes dicatat pada 23 Ogos, tiga kes (25 Ogos), satu kes (26 Ogos), dua kes (27 Ogos) manakala tiga kes pada 28 Ogos.

“Hal ini menunjukkan semua individu yang masuk Malaysia dari luar negara harus mengikuti SOP kuarantin bagi mengelakkan malapetaka penularan jangkitan tempatan,” tulis pasukan itu di Facebook malam ini.

Sementara itu, STFC memaklumkan corak kes baharu menurun berbanding semalam dengan hanya satu kes dicatat hari ini. Keseluruhannya, sebanyak 2,167 kes direkod.

Pasukan itu berkata pertambahan kes menyebabkan Klang bertukar menjadi zon kuning selain Petaling.

Kuala Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat, Hulu Langat, Hulu Selangor, Gombak dan Sepang pula kekal dalam zon hijau.


Pengarang :