Penghuni penjara mengisi masa lapang melakukan aktiviti berfaedah. Foto Facebook Jabatan Penjara Malaysia
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Jabatan Penjara ikut SOP, waspada terima kunjungan pelawat

KAJANG, 9 OGOS: Jabatan Penjara Malaysia sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan, khususnya terhadap kemasukan penghuni baharu bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 dalam kalangan penghuni penjara.

Timbalan Ketua Pengarah Penjara Malaysia (Keselamatan dan Koreksional) Datuk Alzafry Mohamed berkata pihak penjara juga berhati-hati ketika menerima kehadiran orang awam dan pelawat ke institusi penjara di seluruh negara.

“Bagi kemasukan penghuni baharu, mereka akan dikuarantin di blok khas yang ditetapkan dan pihak penjara akan menjalankan pemeriksaan terlebih dahulu sebelum mereka boleh ditempatkan bersama-sama penghuni lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama sempena majlis penyampaian sumbangan Program Sinar Aidiladha Bank Rakyat di Auditorium Ibu Pejabat Penjara Kajang, di sini hari semalam.

Pada awal Jun lalu, Bernama melaporkan seorang penghuni penjara bukan warganegara iaitu pendatang tanpa izin di penjara Sungai Buloh, Selangor disahkan positif Covid-19.

“Sekiranya penghuni baharu itu didapati tidak sihat, Jabatan Penjara akan segera menghubungi Kementerian Kesihatan atau hospital terdekat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Alzafry berkata ketika ini, terdapat 68,603 penghuni penjara yang ditempatkan di 42 institusi penjara di seluruh negara.

“Jumlah tersebut terdiri daripada 54,508 warga tempatan dan 14,095 warga asing,” katanya.

Katanya, walaupun jumlah penghuni penjara kini melebihi kapasiti yang ditetapkan iaitu seramai 52,000 orang, namun penjara yang ada masih mampu menampung jumlah penghuni yang ada.

Terdahulu, Bank Rakyat menyumbang sebanyak 34 ekor lembu bernilai RM166,600 kepada 1,830 petugas barisan hadapan dan golongan asnaf sempena sambutan Aidiladha.

-BERNAMA


Pengarang :