AGENDANASIONAL

Covid-19: Unifi TM catat pertumbuhan pelanggan memberangsangkan

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Unifi Telekom Malaysia Bhd (TM) merekodkan pertumbuhan pelanggan yang positif dalam suku kedua 2020 apabila lebih ramai rakyat Malaysia mula bekerja dari rumah berikutan penularan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif TM Imri Mokhtar berkata pada masa yang sama jumlah pelanggan unifi berkembang empat peratus kepada 1.55 juta dengan jumlah pelanggan jalur lebar tetap meningkat kepada 2.23 juta.

Beliau berkata TM juga terus menjadi peneraju dengan pertumbuhan jalur lebar tetap pada 53 peratus bagi isi rumah TM.

“Semasa suku tersebut, kami mencatatkan kemajuan yang baik berbanding keutamaan strategik kami menerusi program penambahbaikan prestasi yang membawa kepada peningkatan kos, meskipun cabaran hasil di bahagian runcit,” katanya pada sidang akhbar selepas taklimat media mengenai keputusan Suku Kedua 2020 TM, di sini.

Selain itu, menurut Imri, TM mencatatkan peningkatan daripada penggunaan trafik rangkaiannya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Rangkaian TM kekal stabil semasa PKP dalam mengendalikan peningkatan 39 peratus daripada keseluruhan trafik berikutan pengoptimuman rangkaian yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata TM kekal berupaya untuk menerajui Revolusi Perindustrian (IR4.0) bagi memastikan penggunaan digital yang lebih tinggi di Malaysia.

Imri berkata TM telah menyambung semula sepenuhnya operasi perniagaan syarikat dan aktiviti jualan bagi menyediakan perkhidmatan lebih berkualiti kepada pelanggannya.

Menurutnya, syarikat itu terus mengekalkan momentum komersialnya yang disokong oleh fokus pengurusan kesinambungan perniagaan yang proaktif dan diselaras dengan baik bagi memenuhi keperluan pelanggan dan operasi syarikat.

“Bagaimanapun, kami ada juga berdepan dengan kelewatan dalam perkhidmatan kami kepada pelanggan kerana kami mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) PKP.

“Bagi mengurangkan impak pandemik Covid-19 ke atas perniagaan kami, kami akan terus giat menilai pelbagai cara bagi memenuhi sasaran prestasi kami di samping mengoptimumkan kos dan perbelanjaan modal dalam semua operasi kami.

“Kami telah mula mengekang penurunan dan kami yakin inisiatif pengoptimuman kos kami akan terus membuahkan hasil yang membawa kepada margin positif bagi kumpulan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :