BUDAYARENCANA

Laring

Oleh A.J.F

SETIAP malam aku akan simpan peti suara di tempat rahsia. Tak semua orang mampu menyimpan peti suara kerana setiap malam akan ada yang menggegarkan malam dengan bunyi dengkuran.

Pagi ini aku mencari kunci untuk membuka peti suara yang kusimpan di tempat yang aku sendiri lupa. Ah, sudah! Mati aku macam ini! Macam mana aku hendak bersuara nanti?

Kerana peti suara belum dapat disatukan, aku merapati cermin bilik air untuk melihat mulut. Aku mengangakan mulut. Mujur lidah masih ada. Dengan lidah inilah aku merasai nikmat membedal durian Musang King malam tadi yang kubeli dengan harga ratusan ringgit. Harga durian sekarang melambung tinggi. Sampaikan sudah tidak ada lagi perbandingan “harga pergi Mekah balik hari” tapi ada perbandingan baharu, “mahal macam bil elektrik”.

Aku mencari di bawah permaidani, dalam almari hingga ke peti ais. Ekspedisi mencari sudah memasuki sejam. Tak pernah aku hilang ingatan sebegini. Aku buntu. Macam mana aku nak jawab telefon kalau ada yang cuba call?

“Sekarang semua orang berkomunikasi dengan WhatsApp,” bisik hatiku yang cuba menenangkan keadaan.

Benar. Aku ada menonton satu iklan telekomunikasi zaman SMS. Seorang ibu tidak merestui hubungan anak dengan kekasihnya. Mereka berbalas-balas SMS sahaja tanpa berbicara pun walapun duduk serumah.

Ya. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan memasuki bulan keempat, perhubungan aku dengan mak pun melalui WhatsApp walaupun tinggal serumah. “Sarapan sudah siap, boleh turun”, “Jangan lupa solat”, “Mak pergi ke pekan” antara mesej popular. Kadang kala masa mak tengah marah maka keluarlah stiker Abang Gee, “Tak tahu nak habakk”.

Itu belum lagi komunikasi dengan rakan seuniversiti melalui media sosial. Mereka gemar sangat mengeluarkan stiker yang tertulis “Selamat malam Jumaat, tunggang dengan cermat, ingat orang tersayang”. Lalu aku pun membalasnya dengan stiker gambar Johan Raja Lawak yang ditulis “kannn!!!” Dunia sekarang orang kerap berhubung dengan telefon pintar melalui aplikasi berteraskan tulisan. Memang boleh bilang dengan jari aku menggunakan peti suara.

Misteri memang misteri kehilangan peti suara. Aku syak peti suara sudah sentap. Mungkin sudah lari dari rumah. Inilah angkara kemajuan teknologi yang menelan tradisi dan amalan manusia. Ini juga agaknya yang dirasai orang bisu. Aku cuba menghayati kekurangan orang. Petang nanti aku ada kelas dalam talian. Harap-haraplah syarahan bertahan dua jam tanpa ada sesi soal jawab. Kalau ada pertanyaan, aku terpaksa memutuskan talian konon-kononnya ada masalah internet. Jika itu terjadi, memang haru jadinya.

Aku bernasib baik tak perlu sorokkan wajah seperti sesetengah rakan sekelas yang mengikuti kelas dalam talian sebab tak sempat mandi. Masalah aku hanyalah kehilangan peti suara. Tidak ada siapa yang nampak kekurangan itu melainkan apabila ada pertanyaan yang tiba-tiba datang. Harap janganlah!

Aku capai telefon dan cuba mesej Alna kononnya hendak berkongsi kisah misteri. Selepas panjang menulis, aku memadamnya serta-merta. Takut pula nanti dia kata aku sudah gila.

Sejurus selepas itu, dia pun membalas mesej dengan dua stiker “guano derah roba terr”, “delete pun dah tak guna, malaikat dah tulis”.

Ciss!! Kena aku sedas. Alna memang suka sangat “kecek kelate” walaupun dia orang Pulau Pinang. Aku mengenalinya sewaktu mula belajar di kampus. Satu-satunya minat dia yang tak boleh aku ikut ialah dia suka berdebat. Kalau ada persidangan Parlimen, dia akan bawa aku bersama sebagai teman. Tapi, persidangan yang kecoh baru-baru ini, kami hanya menontonnya secara langsung dari telefon.

Memang benar persidangan itu dikecam orang ramai kerana tidak menunjukkan sifat tertib dan bersopan ahli parlimen. Seolah-olah hari pertama persidangan dijadikan medan lepas geram masing-masing kerana sudah lama tidak berbahas. Aku tahu Alna juga terkilan melihat situasi itu kerana dia sudah dididik berdebat secara tertib dan sopan di universiti.

Aku teringat kata Alna tentang persidangan Parlimen yang panas itu. Katanya “cuba baca hansard bagaimana situasi yang kita tonton ditulis. Pasti tidak sama auranya apabila menonton langsung”.

Betul kata Alna. Dalam hansard ditulis “dewan riuh”, “ber-ucap tanpa pembesar suara”, “pembesar suara dimatikan”. Kerana itu aku merasakan betapa pentingnya peti suara dalam menyampaikan emosi dan perasaan berbanding tulisan yang tiada jiwa.

Tiba-tiba ada mesej masuk. “Dukacita dimaklumkan bahawa YB Bandar Universiti meninggal dunia sebentar tadi. Marilah sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah (dibaca).

Entahlah kenapa sekarang ada “dalam kurungan”? Selama ini agaknya apabila mesej sebegitu dihantar, orang tak baca al-Fatihah? Atau orang sekadar membaca mesej tanpa ada perbuatan membaca al-Fatihah?

Saat aku membaca setiap baris ayat dengan melihat keadaan diri yang hilang peti suara, barulah aku faham maksud “(dibaca)”. Malam tadi sewaktu aku skrol komen warga maya dalam media sosial, semua sudah menjadikan “dalam kurungan” sebagai “bahan lawak”. Habis menjadi sohor kini pula.

“Wow (dibaca)”

“Hmmmm (dengan bunyi)”

“Air liur (ditelan)”

“Walaweii (baca 6 harakat)”

“Ciss. Aku baca komen semua yang dalam kurungan tu sambil terikut dibuatnya”

Ha! Ha! Ha! Senyum aku sampai ke telinga. Warga maya memang suka merapu.

Sedang aku membelek-belek telefon, bunyi nada dering lagu “maaf” nyanyian Adira berkumandang. Aku tahu ini panggilan Alna. Aku biarkan saja lagu itu terpasang sehingga talian putus.

“Kenapa abang tak jawab?” Mesej Alna

“Abang ada masalah laring,” aku membalas.

“Apa daring daring ni, abang jangan main-main,” tambah Alna

“Abang hilang peti suara,” tulisku.

“La… semalam ‘kan kita berduet kat aplikasi simolek?” Alna menaip jujur

Jawapan Alna berjaya merungkai misteri yang membelenggu pagi ini. Aku menarik nafas dalam-dalam dan berkata lega (dibaca).


Pengarang :