AGENDAEKONOMINASIONAL

Shopee lancar kempen jualan 9.9 susulan kejayaan 8.8

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Acara beli-belah dalam talian Festival Jenama 8.8 (8 Ogos) Shopee berakhir dengan amat menggalakkan, termasuk mencatat jualan lima juta helai pelitup muka dalam tempoh sehari.

Pengarah Urusan Serantau Shopee Ian Ho berkata antara yang mendapat permintaan ketara pada acara beli-belah itu termasuk produk penjagaan kebersihan, barangan runcit, aksesori mudah-alih dan perkakasan rumah.

Malah, beribu-ribu helai bendera Jalur Gemilang turut dibeli kalangan rakyat patriotik bersempena sambutan Hari Kebangsaan bagi tujuan menghias rumah, sekolah dan restoran.

“Pada 8 Ogos lepas, kami mencatatkan jualan lima juta pelitup muka tiga lapisan. Malah, produk pelitup muka itu antara salah satu jualan paling laris.

“Barangan runcit, perkakasan dan keperluan dapur seperti periuk tekanan, penggoreng berasaskan udara, cecair basuh baju dan produk lain termasuk tisu basah untuk bayi, kotak (rak) kasut terus mendapat permintaan ketara,” katanya kepada Bernama semalam.

Ho berkata sambutan yang amat menggalakkan ketika Festival 8.8 itu juga dipacu oleh beberapa faktor seperti tawaran menarik RM8 ketika acara Jualan Kejutan yang merentasi semua kategori dan penghantaran percuma dengan hanya berbelanja serendah RM10 bagi tempoh jam 12 pagi hingga 2 pagi serta baucar diskaun 50 peratus pada 8 Ogos tersebut.

Faktor lain termasuk kempen jenama bersama dikenali Hari Jenama Terhebat membabitkan Shopee berserta 15 jenama lain dengan tawaran menarik untuk para pengguna.

Selain itu, susulan kejayaan tersebut, platform beli-belah popular itu kini melancarkan acara jualan tahunannya yang merupakan edisi kelima penganjurannya – Hari Beli-Belah Terhebat sehingga 9 September 2020.

“Banyak yang ditawarkan untuk rakyat Malaysia termasuk penghantaran percuma setiap hari dengan perbelanjaan minimum serendah RM9; Jualan Kejutan setiap hari dengan tawaran RM9, baucar diskaun 50 peratus serta peluang memenangi hadiah bernilai sehingga RM99,000 dengan menyertai acara Permainan Shopee,” katanya.

Ho berkata Shopee turut bekerjasama dengan kerajaan bagi menyediakan penyelesaian e-dagang serta membolehkan pelaksanaan digitalisasi perniagaan terutama bagi mereka yang mempunyai premis konvensional dan berteraskan objektif untuk memacu pemulihan ekonomi.

Bagi mencapai sasaran itu, kerajaan menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah melancarkan beberapa inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“Ini termasuk Kempen E-Dagang PENJANA Perusahaan Mikro dan Kecil dan Sederhana (PMKS) dan Shop Malaysia Online bagi membantu perniagaan mengembangkan saluran dagangan dalam talian mereka menerusi pendedahan dalam Shopee dan baucar diskaun.

“Tidak ketinggalan, usaha mendorong penggunaan domestik dalam kalangan pengguna Malaysia menerusi potongan harga, baucar dan wang tunai melalui dana yang diperuntukkan oleh kerajaan,” katanya.

Malah, lebih daripada 36,000 perniagaan di platform itu telah meraih manfaat menerusi Kempen E-Dagang PMKS PENJANA berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :