EXCO Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Khairuddin Othman menyerahkan cek cura kepada penerima bantuan pada Majlis Pelancaran dan Sidang Media Ceria Atlit Selangor pada 3 September 2020. foto MSN Selangor
AGENDASUKANKINI

Bekas atlet Selangor terima bantuan Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 3 SEPT: Seramai 50 bekas atlet Selangor termasuk atlet para menjadi kumpulan pertama menerima bantuan Kerajaan Negeri berjumlah hampir RM200,000.

EXCO Sukan, Mohd Khairuddin Othman berkata melalui Program Ceria Atlet Selangor 2020 itu atlet mewakili negeri ini dan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa pada era 90-an dibantu untuk kehidupan lebih selesa.

“Program ini kesinambungan daripada bantuan diberikan pada hari raya, Mei lalu kerana ketika itu kita mendapat maklumat ada bekas atlet tak ada rumah, tinggal di surau dan masjid.

“Jadi kita lihat ada keperluan untuk membantu atlet susah ini. Bantuan berbeza mengikut keperluan mereka antaranya baik pulih rumah, pembelian perabot atau keperluan lain,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran program itu hari ini.

Mohd Khairuddin mengharapkan peruntukan dana tinggi dalam Belanjawan 2021 bagi membolehkan lebih ramai bekas atlet menerima manfaat program itu.

“Selangor melaksanakan pelbagai inisiatif demi menjaga kebajikan atlet dengan terbaharu menandatangi MoU (perjanjian persefahaman) dengan UiTM (Universiti Teknologi Mara) sebagai usaha menjaga kejayaan akademi mereka,” katanya.

Program berkenaan merupakan kerjasama antara Kerajaan Selangor dengan beberapa agensi lain antaranya Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan, Majlis Sukan Negeri Selangor dan Lembaga Zakat Selangor.


Pengarang :