Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari serta beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor merakamkan video muzik Standing In The Eyes Of The World bersama penyanyi asal, Ella dan Lah Ahmad.
SELANGOR

Hari Malaysia: MB, ADN rakam video muzik Standing In The Eyes Of The World

SHAH ALAM, 16 SEPT: Dato’ Menteri Besar serta beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN) merakam video muzik Standing In The Eyes Of The World nyanyian ratu rock negara sempena sambutan Hari Malaysia ke-57.

Video muzik enam minit itu turut menampilkan Lah Ahmad selaku penyanyi utama selain penampilan khas Ella yang merupakan penyanyi asal lagu tersebut.

ADN terlibat ialah Najwan Halimi dari Kota Anggerik, Juwairiya Zulkifli (Bukit Melawati); R Rajiv (Bukit Gasing); Michelle Ng Mei Sze (Subang Jaya); Lim Yi Wei (Kampung Tungku); Edry Faizal Eddy Yusof (Dusun Tua); Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama) dan Chua Wei Kiat (Rawang).

Dato’ Seri Amirudin Shari serta beberapa ADN turut menunjukkan bakat sebagai ‘rapper’ dalam rakaman video muzik tersebut.

Sementara itu Najwan berkata rakaman dibuat minggu lalu dan ia merupakan idea ADN muda di Selangor.

“Lagu ini dipilih kerana lirik serta mesejnya menunjukkan perpaduan dan kita mahu tunjukkan ADN Selangor menyokong perkara itu selain mahu Malaysia kembali gah di persada dunia,” katanya kepada SelangorKini.

Lagu Standing In The Eyes Of The World hasil karya Wah Idris bersama Habsah Hassan mula diperdengarkan sempena Sukan Komanwel 1998.


Pengarang :