Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh situasi semasa pencemaran air di Command Centre Air Selangor, Kuala Lumpur pada 5 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Kilang punca gangguan air diarah pulih, kosongkan tanah

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Pemilik kilang menyelenggara jentera berat yang menjadi punca pencemaran Sungai Gong, Rawang diarah memulih dan mengosongkan tanah dengan segera, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata arahan itu terkandung dalam notis pelanggaran syarat (7A) Pejabat Daerah dan Tanah Gombak yang akan diserahkan kepada pemilik premis, Isnin ini.

“Pengusaha premis perlu memulihkan tanah dan mengembalikan semula peranan asal tanah tersebut dalam tempoh munasabah. Paling tidak dalam tempoh tiga hingga empat bulan, kita akan tutup (kilang berkenaan) untuk pastikan tempat tersebut benar-benar selamat.

“Kita juga sudah mengarahkan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dan Tenaga Nasional Berhad memotong bekalan air serta elektrik supaya kilang itu tidak lagi beroperasi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh situasi semasa pencemaran air di Ibu Pejabat Air Selangor di sini hari ini.

Amirudin dalam kenyataan semalam menegaskan tidak teragak-agak mengambil tindakan lebih keras terhadap semua pihak yang mengakibatkan pencemaran air sehingga menjejaskan ratusan ribu pengguna.

Beliau menegaskan Kerajaan Negeri tidak sesekali bertolak ansur terhadap kilang yang melepaskan bahan pelarut ke Sungai Gong, Gombak, anak sungai Sembah yang mengalir ke Sungai Selangor.

Air Selangor dalam kenyataan berasingan pula memaklumkan bekalan air di kawasan terjejas mula disalurkan secara berperingkat bermula jam 12 tengah hari tadi.

Pemulihan kumpulan pertama pada 5 hingga 7 September membabitkan 667 kawasan atau 51.6 peratus.

 

 


Pengarang :